KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di kawasan sekitar enam stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia selari dengan hasrat untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan industri baharu di negeri ini.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan sedang merangka pelan induk TOD di kawasan terlibat yang dijangka akan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

"TOD ini adalah pendekatan perancangan bandar yang menekankan kepada pembangunan kawasan bercampur penggunaannya, mudah dijelajah dan dibangunkan dengan sistem pengangkutan yang cekap.

"Dengan menggabungkan penduduk, aktiviti ekonomi dan ruang awam sambil menggalakkan kemudahan berjalan kaki, TOD akan mampu memperkukuhkan kehidupan bandar yang lebih baik, berdaya maju dan mesra alam," katanya dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

Selain itu Ahmad Samsuri berkata beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk mencari jalan menjadikan stesen ECRL yang direka bentuk sebagai stesen penumpang dapat dijadikan sistem penghantaran barangan atau kargo berat sederhana ke bawah.

Katanya kewujudan fasiliti tambahan (kargo) itu akan membolehkan kawasan industri sederhana berhampiran stesen-stesen dapat diwujudkan, sekali gus merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya.

"Kerajaan negeri juga bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang merangka perancangan bagi Economic Accelarator Projects (EAP) untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan industri di sekitar stesen ECRL," katanya.

Sidang DUN Terengganu hari ini ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA