MARANG:Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika beriadah bersama enam lagi rakannya di Pantai Jambu Bongkok di sini semalam.

Mangsa Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, bersama rakannya dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan kira-kira jam 6 petang Jumaat untuk mandi.

Bagaimanapun sejam selepas itu, mangsa dipercayai dipukul ombak besar yang datang secara tiba-tiba sebelum ditarik ke tengah laut.

Menurut rakan mangsa, Muhd Faiz Ablah, sejak dari subuh mangsa yang berasal dari Hulu Terengganu itu mengajak mereka untuk mandi.

Bagaimanapun selepas sejam mandi, mereka bergerak untuk naik sebelum melihat rakan mereka terkapai-kapai meminta tolong lalu dihanyutkan arus.

“Dekat pukul 7 petang, kami semua tengah naik, kami panggil dia sekali. Badan dia sudah separuh, lepas itu dia turun balik. Kami panggil dia tapi dia tak naik.

“Seorang daripada kami pergi ke arah dia untuk tolong bawa naik, tapi dengan kawan kami itu juga hampir lemas.

“Lepas itu, kami semua pun tak berani nak pergi turun, tangan dia (mangsa) dah terkapai-kapai minta tolong,” katanya kepada media di sini lewat malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata seramai 50 kekuatan termasuk polis, bomba dan penduduk kampung telah digerakkan.

Pihaknya memfokuskan pencarian pada jarak tiga kilometer di kawasan pesisir pantai.