KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.
Abdul Azeez, 60, dilihat memakai baju lokap polis berwarna ungu dan dalam keadaan bergari ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi ini.
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat mengesahkan tempoh reman berkenaan selepas prosiding selesai.
“Direman dua hari,” katanya ringkas.
Abdul Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Abu Bakar sebelum ini berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap anak guamnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan dua bekas pegawai TH turut direman untuk membantu siasatan kes tipu berkaitan hibah.
Abdul Azeez difahamkan dibawa ke Mahkamah Majistret menerusi laluan dalaman bagi prosiding berkenaan ketika petugas media menunggu di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Azeez juga dijangka menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan telah mendapat izin mendakwa seorang bekas pengerusi sebuah badan berkanun Persekutuan di mahkamah berkenaan.
Anak Abdul Azeez, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez serta Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut kelihatan di kompleks mahkamah bersama beberapa penyokong.
Malam tadi, Mohamed Khairul Azman menerusi satu hantaran di media sosial mengesahkan penahanan bapanya.
Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari oleh SPRM. bermula 27 Ogos lalu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Siasatan berkenaan dibuat susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji.