TEHRAN: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan telah menawan sebuah dron kapal selam milik Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
IRGC dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pasukan lautnya menawan “sebuah daripada kapal selam tanpa pemandu paling moden dan pintar milik tentera AS di pintu masuk Selat Hormuz” menerusi operasi perisikan dan ketenteraan yang kompleks pada awal pagi.
Menurut IRGC, ia dilengkapi teknologi terkini dan armada tentera laut AS memperoleh kapal selam itu pada 2025.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kapal selam berkenaan kini berada di bawah kawalan tentera Iran, manakala imejnya akan diterbitkan dalam beberapa jam akan datang.
IRGC menerusi laman sesawang rasminya turut mengenal pasti kapal selam itu sebagai Dive-LD, keluaran Anduril Industries, sebuah syarikat AS yang menghasilkan sistem autonomi canggih dan teknologi pertahanan untuk kegunaan tentera AS serta sekutunya.
Menurut IRGC, Dive-LD yang diserahkan kepada Tentera Laut AS tahun lepas berukuran kira-kira 5.8 meter panjang dan seberat hampir tiga tan.
Kapal selam tanpa pemandu itu direka untuk menjalankan misi jangka panjang secara autonomi di perairan dalam.
-- BERNAMA-IRNA