[TERKINI] Banjir Kelantan: Ibu hanya sempat capai satu beg bawa bayi ke PPS
![[TERKINI] Banjir Kelantan: Ibu hanya sempat capai satu beg bawa bayi ke PPS [TERKINI] Banjir Kelantan: Ibu hanya sempat capai satu beg bawa bayi ke PPS](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763959117_banjirkelantanbo.jpg)
Mangsa banjir diselamatkan dan dibawa ke PPS oleh pasukan bomba. - Gambar/ JBPM
KOTA BHARU: Air yang naik begitu cepat di rumah sewa di Kampung Sadur, Wakaf Aik menyebabkan seorang ibu muda hanya sempat mencapai satu beg dan mendukung bayinya berusia tiga bulan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sering, di sini.
Nurul Alina Nola, 22, berkata dia dan suami nekad berpindah bersama-sama bayi lelakinya Muhammad Adam Rifqi Arif selepas air memasuki ruang rumah hingga paras lutut dalam kejadian banjir yang berlaku buat kali pertama di kawasan itu.
"Banjir kali ini amat berbeza kerana lazimnya kawasan perumahan ini hanya dinaiki air seketika sebelum surut dengan cepat, namun hujan yang tidak berhenti sejak Jumaat menyebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah dengan cepat," katanya kepada Bernama di PPS berkenaan hari ini.
DAPATKAN INFO TERKINI CUACA DAN BANJIR DI MALAYSIA DI SINI
Nurul Alina yang kali pertama berpindah ke PPS berkata dia sekeluarga juga tidak sempat menyelamatkan barangan penting dan hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan barangan keperluan bayinya.
"Televisyen dan beberapa perabot rosak dimasuki air, sekarang kami kehabisan lampin pakai buang dan barangan keperluan bayi," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Azlinda Remli, 43, turut berpindah bersama-sama tiga anak dan dua cucunya selepas rumah mereka dinaiki air hingga paras lutut.
Ibu tunggal yang bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu berkata mereka kini menumpang di sebuah khemah yang dikhaskan untuk empat orang di PPS itu.
Katanya, penduduk sekitar hanya mampu berharap hujan segera reda agar mereka dapat pulang, merancang kerja pembersihan dan memastikan keselamatan keluarga masing-masing.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


