Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Bekas COO TH masuk hospital, pendakwaan ditangguh ke 24 Sept

Shah Alam , 3 September 2026. Pasukan peguambela  yang mewakili Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji diketuai ,Wan Azman Aiman bercakap pada media di  Mahkamah Shah Alam selepas mahkamah menanguhkan pertuduhan tersebut.Astro AWANI SHAHIR OMAR
Peguam bela, Wan Azwan Aiman (tengah) berkata anak guamnya menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima barang berharga daripada individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebagai penjawat awam. -Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SHAH ALAM: Pendakwaan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen, di sini, ditangguhkan pada Khamis kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan masalah jantung.

Menurut isteri tertuduh, Zureen Zainuddin, yang hadir ketika prosiding, suaminya dimasukkan ke hospital sejak 31 Ogos susulan mengadu sakit dada pada hujung minggu lalu.

“Buat masa sekarang dia (tertuduh) sedang menjalani prosedur angiogram di Hospital Universiti Malaya.

“Doktor turut menjalankan pemeriksaan ECG terhadap suami setiap hari dan terdapat kemungkinan angioplasti perlu dilakukan bergantung kepada keputusan angiogram.

“Saya tidak dapat menjangkakan berapa lama suami akan berada di hospital kerana ia bergantung kepada keputusan ujian yang dijalankan, saya tidak dapat mengatakannya buat masa ini,” jelas Zureen di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Selain itu, peguam mewakili tertuduh, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin turut mengemukakan dokumen perubatan daripada pakar kardiologi kanan PPUM bagi mengesahkan ketidakhadiran orang kena tuduh (OKT).

Hakim Awang Kerisnada berkata keadaan tertuduh yang serius menyebabkan situasi ketika ini tidak sesuai untuk mahkamah pergi ke hospital bagi membacakan pertuduhan terhadapnya.

“Perkara yang wajar dilakukan ketika ini adalah membenarkan tertuduh berehat dan meneruskan rawatan di hospital.

“Mahkamah menetapkan 24 September 2026, jam 9 pagi sebagai tarikh baharu pendakwaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, peguam bela, Wan Azwan Aiman berkata anak guamnya menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima barang berharga daripada individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebagai penjawat awam.

Beliau berkata ketiga-tiga pertuduhan itu berkaitan kesalahan yang didakwa berlaku kira-kira sembilan tahun lalu, namun pertuduhan tersebut hanya dikenakan terhadap tertuduh hari ini.

Peguam bagaimanapun menolak permintaan pengamal media untuk mengesahkan sama ada pertuduhan berkenaan mempunyai kaitan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Beliau menyerahkan perkara itu untuk ditentukan berdasarkan fakta kes.

Tertuduh merupakan antara lima pegawai kanan TH dinamakan dalam laporan RCI susulan dapatan mendedahkan tindakan tatatertib terhadap mereka melibatkan beberapa kes salah laku serius yang kemudian diringankan selepas rayuan.

Menurut laporan RCI, tindakan tatatertib itu melibatkan empat isu utama termasuk penjualan saham PT TH Indo Plantations, sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan menteri, pengisytiharan agihan keuntungan hibah 2017 serta tuntutan palsu.

Must Watch Video

Advertisement