Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Google labur AS$15 bilion di Malaysia, sasar lebih 37,000 pekerjaan setahun

Anwar (tengah) bergambar pada acara Google Mantap Malaysia Bersama Ai di Universiti Malaya hari ini. -Foto BERNAMA
Anwar (tengah) bergambar pada acara Google Mantap Malaysia Bersama Ai di Universiti Malaya hari ini. -Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Google mengumumkan pelaburan sebanyak AS$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion) di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028, merangkumi peluasan infrastruktur digital, pembangunan pusat data serta inisiatif tenaga bersih dan pengurusan sumber air.

Pengumuman itu dibuat pada Rabu sempena acara Google’s New Strategic Investment di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, di sini, yang merupakan antara inisiatif di bawah program Mantap Malaysia Bersama AI.

Pelaburan itu dijangka menyumbang purata AS$1.1 (kira-kira RM4.7 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta mewujudkan lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setahun sepanjang fasa pembinaan pada 2027 hingga 2028.

Advertisement

Google dalam kenyataannya berkata pelaburan berkenaan dibina atas kehadirannya selama lebih 15 tahun di Malaysia dan merangkumi pembangunan kampus pusat data di Selangor serta Negeri Sembilan, termasuk kampus pertamanya di Elmina Business Park, Selangor yang kini sudah beroperasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat untuk mengembangkan operasinya secara bertanggungjawab serta memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat Malaysia.

Advertisement

“Pelaburan ini selari dengan keutamaan pembangunan Malaysia, dengan menyediakan kapasiti pengkomputeran asas bagi membolehkan manfaat inovasi dinikmati di seluruh negara, di samping menambah sumber tenaga dan air tempatan seiring peluasan operasi kami,” katanya.

Apabila beroperasi kelak, kemudahan berkenaan diunjurkan menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun, dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional.

Selain peluang pekerjaan, Google turut mengumumkan empat program baharu bagi meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, melibatkan pendidik dan golongan muda, usahawan mikro, penjawat awam serta pencari kerja dalam bidang vokasional.

Inisiatif itu merangkumi latihan literasi AI di sekolah, program pendigitalan perniagaan kecil, peningkatan kemahiran AI penjawat awam serta penubuhan institut pusat data di politeknik terpilih di Selangor dan Negeri Sembilan bermula 2027.

Dalam aspek kelestarian, Google merancang menambah lebih satu gigawatt kapasiti tenaga bersih ke Grid Nasional menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain menanggung sepenuhnya kos elektrik yang digunakan kampus pusat datanya serta kos infrastruktur sambungan berkaitan.

Syarikat itu turut merancang projek pengurusan dan pemulihan sumber air, termasuk pembangunan takungan air luar sungai dan loji rawatan di Negeri Sembilan yang mampu membekalkan 65 juta liter air terawat sehari.

Kemudahan itu dijangka membantu mengurangkan risiko banjir ketika musim tengkujuh, menjamin bekalan air ketika musim kering serta memperluas akses kepada air bersih bagi komuniti setempat.

Pemilikan kemudahan berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas siap dibangunkan sebagai aset awam kekal.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pelan pelaburan itu menetapkan penanda aras bagi pembangunan infrastruktur digital mampan dan berimpak tinggi, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI serta Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030.

Beliau berkata komitmen terhadap tenaga bersih, daya tahan sumber air dan kerjasama dengan institusi serta perusahaan tempatan akan memastikan perniagaan, pekerja dan komuniti mendapat manfaat daripada perkembangan AI serta inovasi digital.

Must Watch Video

Advertisement