MALAYSIA
TERKINI HAJI 2025: Warga emas semangat tunai ibadah melontar meski kudrat terbatas

Sebahagian jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M berada di kompleks Jamrah, bagi menunaikan ibadah melontar. - Gambar/ Bernama
MINA: Biarpun usia menjangkau 70-an dan kudrat semakin terbatas, jemaah haji warga emas Malaysia tetap menunjukkan semangat luar biasa menunaikan ibadah haji, termasuk melontar di Jamrah Kubra di sini sekali gus membuktikan usia bukanlah penghalang.
Ringkasan AI
- Warga emas Malaysia tetap bersemangat menunaikan ibadah haji walaupun usia lanjut dan kudrat terbatas, termasuk berjalan kaki lapan kilometer untuk melontar di Jamrah Kubra.
- Kisah seperti Asiah Abu Bakar, 78, dan Yaakob Bador, 79, menunjukkan keazaman luar biasa, hasil simpanan dan doa bertahun-tahun demi menunaikan rukun Islam kelima.
- Jemaah muda seperti Mohd Hafeiz turut memainkan peranan penting membantu warga emas sepanjang ibadah, mencerminkan semangat kebersamaan dan kasih sayang sesama jemaah.
Anak Asiah, Nor Azilah Abdul Shatar, 52, berkata ibunya seorang yang sangat istiqamah dalam ibadah bahkan sudah berpuluh tahun mengamalkan membaca al-Quran dan menunaikan solat tahajud setiap awal pagi.
"Mak sendiri sudah mengumpul wang sejak berpuluh tahun bagi tujuan ini. Alhamdulillah selain kami berdua, bapa saya Abdul Shatar Umar, 81, dan abang Abdul Arif Anuar, 54, turut dijemput ke Tanah Suci," katanya.
Sementara itu, Yaakob Bador, 79, yang kali pertama menunaikan haji selepas menunggu hampir 25 tahun untuk mendapat giliran, tidak dapat menahan sebak apabila berjaya melakukan lontaran Jamrah.
Dia yang berasal dari Kuala Lumpur, berjaya mengumpul duit bagi menunaikan ibadah itu hasil titik peluh bekerja sebagai pekerja kilang selama 30 tahun.
"Saya sangat gembira ... kalau boleh saya mahu orang lain juga datang tunaikan haji. Saya hanya pekerja kilang, tetapi saya simpan duit dan berdoa lama untuk peluang ini, Harapnya haji saya mabrur," katanya.
Sepanjang menjalankan ibadah berkenaan, Yaakob dibantu seorang jemaah muda Mohd Hafeiz Mohd Latiff, 42, yang juga rakan semaktabnya.
Meluahkan rasa syukur kerana berpeluang membantu jemaah lain, Mohd Hafeiz berkata jemaah haji itu sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.
"Mungkin saya tidak dapat pergi dengan ayah tetapi saya percaya dan bantu mereka berdua ini seperti ayah saya sendiri.
"Saya lihat mereka ini (rakan semaktab) boleh berjalan sendiri, namun memerlukan bantuan seperti menunjukkan arah, jadi saya jaga dan bantu mereka sepanjang jalan ke sini," katanya dalam nada sebak.
Operasi masyair ialah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami