Skip to main content

Malaysia

Ismail Lasim selesai angkat sumpah jawatan MB Negeri Sembilan

MB Negeri Sembilan Angkat Sumpah -- AWANI
Ismail menandatangani surat cara pelantikan, surat sumpah jawatan dan akuan sumpah pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Advertisement

SERI MENANTI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, sebentar tadi.

Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini, pada 11.40 pagi.

Turut berangkat ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan serta kepimpinan barisan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung semalam, Ismail memenangi kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091.

Beliau memperoleh 6,907 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah yang memperoleh 2,816 undi dan calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof dengan 506 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat malam Sabtu mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tujuh kerusi dan PH memenangi 11 kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN dan PN memperoleh 25 kerusi DUN, sekali gus majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Ismail yang juga anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Juasseh dilahirkan pada 15 April 1959 merupakan lulusan jurusan undang-undang dari Universiti Malaya pada 1985.

Pada 2018, Ismail bertanding dan menang buat pertama kali di kerusi DUN Juasseh pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pernah menjawat jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Ismail juga merupakan Ahli Majlis Tetinggi UMNO.

 

Must Watch Video

Advertisement