Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Pelaburan Google cerminkan keyakinan global terhadap Malaysia - PM Anwar

Anwar (foto) ketika menyampaikan ucapan pada acara Google Mantap Malaysia Bersama Ai di Universiti Malaya hari ini. -Foto BERNAMA
Anwar (foto) ketika menyampaikan ucapan pada acara Google Mantap Malaysia Bersama Ai di Universiti Malaya hari ini. -Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Komitmen pelaburan tambahan Google sebanyak AS$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion) di Malaysia mencerminkan keyakinan syarikat teknologi antarabangsa itu terhadap kestabilan, bakat dan potensi negara untuk muncul sebagai kuasa digital utama di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi penting dalam merancakkan ekonomi negara menerusi pembangunan infrastruktur moden, pewujudan peluang pekerjaan serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) global.

Beliau menyifatkan komitmen itu sebagai pencapaian penting yang mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam landskap teknologi global.

Advertisement

Menurut Anwar, pelaburan berkenaan perlu selari dengan kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dengan memastikan pelaburan yang dibawa masuk menyokong pembangunan industri tempatan, modal insan serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja mahu menarik pelaburan berjumlah besar, malah memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat menerusi peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti dan pembangunan keupayaan teknologi dalam negara.

Advertisement

Dalam aspek pembangunan modal insan, Anwar menyambut baik komitmen Google untuk meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia, termasuk pelajar politeknik dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dan bukannya mewujudkan jurang antara golongan yang mempunyai akses kepada AI dengan mereka yang ketinggalan.

"Kita tidak mahu wujud jurang AI, iaitu hanya segelintir golongan elit di bilik lembaga pengarah atau makmal teknologi yang menikmati manfaatnya, sedangkan seluruh rakyat hanya menjadi pemerhati," katanya dalam ucapan pada program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya, di sini, pada Rabu.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin; serta Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia kekal terbuka kepada pelabur antarabangsa selain komited memastikan pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan keadilan sosial bergerak seiring demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaburan dalam golongan muda dan tenaga kerja penting bagi memastikan teknologi dapat dibangunkan sebagai kepakaran tempatan, bukan sekadar diimport dari luar negara.

"Apabila kita melabur dalam golongan muda dan pekerja, teknologi tidak lagi menjadi sesuatu yang asing atau sekadar diimport. Sebaliknya, ia menjadi keupayaan yang dibangunkan dalam negara sendiri," katanya.

Anwar dalam pada itu menyambut baik komitmen Google terhadap kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menambah lebih satu gigawatt kapasiti tenaga bersih ke grid nasional tanpa bergantung kepada subsidi awam.

Syarikat gergasi teknologi itu juga, menurut Anwar, komited memperkukuh pengurusan sumber air menerusi pembangunan takungan air luar sungai dan loji rawatan berteknologi tinggi bagi meningkatkan bekalan air bersih serta daya tahan komuniti setempat.

 

Must Watch Video

Advertisement