Skip to main content

Malaysia

[TERKINI]: Pengampunan Diraja: Mesyuarat dipercayai sedang berlangsung di Istana Negara

[TB]_Istana Negara_Astro AWANI
Kenderaan Peguam Negara memasuki Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kenderaan yang dipercayai membawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilihat memasuki Istana Negara pagi ini.

Kedua-dua mereka tiba sekitar jam 7.45 pagi, dipercayai bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Mesyuarat berkenaan dijadual berlangsung pada jam 8.30 pagi dan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Tinjauan Astro AWANI di Istana Negara mendapati, semakin ramai pengamal media berkumpul bagi membuat liputan perkembangan mesyuarat berkenaan, termasuk agensi media antarabangsa.

Pada Khamis, Hannah mengesahkan mesyuarat Lembaga Pengampunan akan berlangsung pagi ini, namun enggan mengulas mengenai agenda atau perkara yang akan dibincangkan.

Dalam pada itu, nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi antara perkara yang mendapat perhatian susulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis meletakkan harapan positif berhubung nasib Najib.

Jelas Zahid, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan berkait Najib kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menjelang Mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini.

Zahid menambah, pihaknya mengharapkan keputusan terbaik berhubung perkara itu, namun menghormati kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada Lembaga Pengampunan bahawa permohonan Najib akan dibincangkan dalam mesyuarat pagi ini.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Agong.

Pada mesyuarat kali ke-61 pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan turut mempertimbangkan permohonan Najib, sebelum Urus Setia Lembaga Pengampunan mengumumkan pada 2 Februari 2024 bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sebarang keputusan daripada mesyuarat hari ini bagaimanapun tidak semestinya diumumkan serta-merta selepas mesyuarat selesai dan bergantung kepada proses serta kenyataan rasmi Urus Setia Lembaga Pengampunan.

Sementara itu, agenda sebenar mesyuarat pagi ini masih belum diumumkan secara rasmi.

Astro AWANI akan membawa perkembangan lanjut dilaporkan dari semasa ke semasa.

Must Watch Video

Advertisement