[TERKINI] PRN Sabah: Golongan muda, isu infrastrukur antara tumpuan CIkgu Rusman di Membakut
![[TERKINI] PRN Sabah: Golongan muda, isu infrastrukur antara tumpuan CIkgu Rusman di Membakut [TERKINI] PRN Sabah: Golongan muda, isu infrastrukur antara tumpuan CIkgu Rusman di Membakut](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763694452_tbCikguRusmanDulam.jpg)
Rusman mencadangkan latihan kemahiran untuk pelajar berkekurangan, membentuk pasukan badan pemikir belia, dan memberi perhatian kepada peniaga kecil B40 di Membakut. - Foto Facebook/Cikgu Rusman Dulamit
MEMBAKUT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut Rusman Dulamit memberi tumpuan kepada golongan muda, peniaga kecil serta usaha menyelesaikan isu infrastruktur setempat dalam kempennya.
Ringkasan AI
- Calon Barisan Nasional (BN) DUN Membakut, Rusman Dulamit, memberi tumpuan kepada golongan muda dan peniaga kecil serta menyelesaikan isu infrastruktur setempat dalam kempen PRN Sabah ke-17.
- Fokus awal kempen Rusman adalah mendekati pengundi muda di Membakut, yang merupakan kelompok signifikan, dengan pengalaman beliau sebagai bekas pendidik di kawasan tersebut.
- Rusman mencadangkan latihan kemahiran untuk pelajar berkekurangan, membentuk pasukan badan pemikir belia, dan memberi perhatian kepada peniaga kecil B40 di Membakut, di samping menarik sokongan BN dan pembangunan kawasan yang disokong oleh Ahli Parlimen Kimanis.
"Ini adalah bekas anak-anak murid saya. Mereka sudah mengenali saya di Membakut dan mudah untuk berjumpa dengan anak-anak muda ini," katanya kepada Bernama selepas bertemu jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsulok, DUN Membakut di sini baru-baru ini.
Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan golongan muda adalah latihan kemahiran bagi pelajar yang kurang berkemampuan.
"Kita perlu membantu supaya pelajar yang tidak bernasib baik ini dapat melanjutkan pengajian, kita cuba bantu ke arah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.
Rusman berkata beliau turut mencadangkan pembentukan pasukan badan pemikir belia khusus sebagai platform mengenal pasti keperluan generasi muda di Membakut.
"Pasukan ini akan melibatkan semua lapisan kaum yang ada di Mambakut untuk kita duduk sama-sama berbincang keperluan belia," katanya.
Selain itu, Rusman berkata beliau turut akan memberi perhatian khusus kepada golongan peniaga kecil, termasuk peniaga pasar atau tamu di Membakut yang kebanyakannya tergolong dalam kategori B40.
"Saya lihat harapan daripada usahawan dan peniaga kecil supaya diberikan bantuan daripada pihak kerajaan," katanya.
Sementara itu, Rusman berkata beliau yakin mempunyai peluang cerah untuk mendapat kepercayaan pengundi DUN Membakut yang pernah menjadi kubu kuat BN kerana disokong oleh rekod pemimpin parti itu di kawasan berkenaan.
Beliau berkata banyak pembangunan yang dibuat di Membakut dan Bongawan yang terletak di bawah Parlimen Kimanis hasil usaha Ahli Parlimen Kimanis daripada BN Datuk Mohamad Alamin.
Pada PRN kali ini, BN meletakkan calon di 45 kerusi DUN termasuk Membakut yang akan ditandingi oleh Rusman selaku muka baru dalam pertembungan 10 penjuru bagi mencabar Datuk Mohd Arifin Mohd Arif daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah menyandang kerusi berkenaan sejak 2004.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari Sabah Memilih.
N31: MEMBAKUT: SABAH: 18,563
1. Rusman Dulamit (BN-UMNO)
2. Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Rowindy Lawrence Odong (UPKO)
4. Kamal Idris (PIS)
5. Adrian Lajim (STARSABAH)
6. Mohamad Said @ Ismail Sait (Warisan)
7. Suliaman Alladad (PKS)
8. Haslan Wasli (Bebas/IND)
9. Aziz Angkiu @ Jaafar (PPRS)
10. Yahya Ahmad (Anak Negeri)
(2020: Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif: PN-Bersatu: Maj: 3,421)
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

