Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] RCI Tabung Haji: Bekas menteri tiba di mahkamah untuk kebenaran reman

Sumber: Astro AWANI
Individu bergelar Datuk Seri yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari, tiba kira-kira 10.25 pagi diiringi pegawai SPRM. - Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi mendapatkan kebenaran reman berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pelaburan pajakan hotel Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah dan Madinah.

Individu bergelar Datuk Seri yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari, tiba kira-kira 10.25 pagi diiringi pegawai SPRM.

Beliau ditahan SPRM kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Difahamkan, individu berusia 60-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel di Arab Saudi yang didakwa menjadi antara kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah yang dihadapi TH.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan individu berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut ditahan SPRM susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Kedua-dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri itu ditahan reman bermula 27 Ogos lalu dan tempoh reman mereka berakhir semalam.

SPRM juga sebelum ini menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH, termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Laporan RCI TH didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh aspek ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.

Antara syor utama laporan itu ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pengurusan institusi berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement