Terus menjadi perbualan hangat, reka bentuk light saber yang baru diperkenalkan dalam teaser trailer Star Wars: Episode VII: The Force Awakens.
Disebalik kritikan hebat, setiap peminat mempunyai pandangan mereka sendiri, termasuklah setiausaha bagi Kelab Peminat Star Wars Malaysia, Sanjiv Indran.
Ini merupakan kali pertama peminat Star Wars melihat crossguard light saber dalam filem.
Menurut Sanjiv, ada beberapa versi crossguard light saber, berdasarkan komik Star Wars Purge yang diterbitkan pada Disember 2005.
Baginya tidak adil untuk mengkritik fungsi senjata itu berdasarkan trailer tersebut.
"Saya ingin lihat fungsinya dan tidak boleh memberi sebarang kritikan berdasarkan visual kurang satu saat sebaik light saber itu dihidupkan. Bagi saya ia sangat hebat apabila dihidupkan kerana ia kelihatan lebih panjang," kata Sanjiv.
Jelas Sanjiv lagi, panjang light saber biasanya berukuran tiga kaki bagaimanapun crossguard light saber ini nampak seperti yang biasa tetapi lebih panjang.
Faktor penting bagi seorang wira jedi Star Wars adalah 'force', iaitu kuasa yang dimanfaatkan berdasarkan kemampuan, sama ada untuk kebaikan ataupun light side atau kejahatan, dark side.
Menurut Sanjiv, tajuknya The Force Awakens, ia tidak menyatakan kuasa jahat atau baik yang bangkit semula.
"Apa yang saya faham, ada hanya satu 'force' dan ia bangkit semula. Karekter dalam filem itu akan pilih sama ada menggunakan kuasa jahat atau baik." jelas Sanjiv.
Apapun peminat Star Wars meletakkan harapan tinggi terhadap Star Wars Episode VII, dengan lebih banyak unsur-unsur klasik dalam pembikinan filem itu dan bukan menggunakan kesan komputer semata-mata seperti episod satu hingga tiga.