Hanya kerana salah faham terlanggar bahu, seorang lelaki parah dipukul dalam rusuhan berkumpulan di dalam sebuah pusat hiburan di C180 Cheras Selatan, pada awal pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pihaknya menerima panggilan pada 3.27 pagi mengenai kejadian rusuhan melibatkan sekumpulan lelaki.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat terlanggar bahu di dalam pusat hiburan itu yang kemudiannya menjerumus kepada pergaduhan apabila salah seorang suspek bertindak membaling kerusi terhadap mangsa.

"Apabila keadaan menjadi kecoh, salah seorang suspek menghubungi rakan-rakannya yang lain dan dianggarkan seramai 20 orang menyerang mangsa.

"Akibat kejadian, salah seorang mangsa dihantar ke Hospital Kajang dan kini telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami kecederaan dalaman," katanya dalam satu kenyataan.


Susulan kejadian, Ahmad Dzaffir berkata sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kajang telah menahan sembilan suspek, yang terdiri daripada lelaki tempatan, disyaki terlibat dalam pergaduhan itu.

Semua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan, dan dijangka direman pada Sabtu.

"Orang ramai yang ada makumat berhubung kejadian ini disarankan tampil untuk memberikan keterangan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Kunalan di talian 014-6124325," katanya.

Terdahulu hari ini, satu video berdurasi 15 saat tular di laman sosial, antara lain memaparkan beberapa lelaki memukul seorang mangsa menggunakan kerusi.