Terperdaya iklan kerja sambilan, pekerja swasta rugi lebih RM250,000

Siasatan awal mendapati mangsa ketika berada di rumahnya pada 2.44 petang, 29 Ogos lepas telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dan pautan laman sesawang tawaran pekerjaan dalam talian daripada suspek. - Foto hiasan
IPOH: Seorang pekerja swasta kerugian RM255,948 akibat diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan secara dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu wanita berusia 46 tahun itu pada 7.48 malam semalam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa ketika berada di rumahnya pada 2.44 petang, 29 Ogos lepas telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dan pautan laman sesawang tawaran pekerjaan dalam talian daripada suspek.
"Wanita tersebut telah ditawarkan faedah dan keuntungan hasil daripada belian atau jualan produk yang terdapat dalam laman sesawang berkenaan.
"Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut telah mengikuti pelbagai arahan diberikan oleh suspek. Bagi tujuan itu, dia telah membuat 20 kali pindahan wang ke 10 akaun bank yang berbeza bermula 1 Sept hingga 5 Dis lepas melibatkan jumlah keseluruhan RM255,948," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Nasir berkata apabila mangsa ingin membuat pengeluaran keuntungan dan deposit yang telah dijanjikan, dia diberi pelbagai alasan tidak munasabah dan talian telefonnya telah disekat.
Beliau berkata mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis, dengan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan berasingan, Mohamad Nasir berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sedang mengesan seorang saksi, C. Harvienraj, 18, yang beralamat di No. 290, Lorong 20 Aulong, Taiping bagi membantu perbicaraan kes mengikut Seksyen 427/323 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan saksi terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat Sjn Khairul Anwar Zawawi di talian 019-9009849 atau bilik gerakan IPD Taiping atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


