KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan sistem kelayakan haji baharu yang membolehkan pendeposit secara automatik berada dalam giliran haji sebaik simpanan mereka mencapai baki minimum RM15,000.
TH dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sistem itu diperkenalkan menerusi Pelan Persediaan Haji - Seruan Istito’ah, yang menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada tanpa menjejaskan prinsip siapa dahulu, didahulukan (first come, first served).
Ia menyatakan pelan berkenaan menyediakan laluan persediaan haji yang lebih terancang dan sistematik bagi membantu pendeposit membuat persediaan awal dengan lebih mudah, sekali gus merealisasikan hasrat menunaikan ibadah itu.
“Bagi pendeposit yang telah mendaftar haji, mereka diberi tempoh lebih dua tahun hingga 31 Dis 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000.
“Bermula 1 Jan 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000,” menurut kenyataan itu.
Pendekatan itu juga selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan giliran haji yang lebih telus, adil, serta mampan.
Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dalam kenyataan sama berkata inisiatif itu mengambil kira maklum balas pendeposit di seluruh negara, yang mahukan garis panduan lebih jelas dan laluan persediaan lebih tersusun.
“Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan haji,” katanya.
Menurut TH, antara cabaran utama dikenal pasti adalah secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran haji sebelum ini terpaksa menangguhkan hasrat mereka sedangkan pada masa sama, kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang.
Keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang diperkenalkan pada 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata Pelan Persediaan Haji-Seruan Istito’ah dirangka bagi membantu proses persediaan menjadi lebih jelas, dan boleh dicapai secara sistematik oleh umat Islam di Malaysia yang beriltizam untuk menunaikan haji.
“Seruan Istito’ah mengenal pasti mereka yang benar-benar bersedia, sambil menggalakkan yang lain memulakan perancangan lebih awal. Matlamat kami, membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan.
“Bagi menyokong usaha ini, TH telah memperkenalkan beberapa kemudahan seperti Kalkulator Simpanan Haji menerusi laman web baharu kami pada awal tahun ini untuk membantu individu merancang simpanan bulanan berdasarkan tempoh dan sasaran simpanan masing-masing,” katanya.
Mustakim berkata mulai 19 Sept ini, TH akan memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus.
Beliau berkata Multi Tabung turut akan diperkenalkan bagi membolehkan pendeposit mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH, iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah.
Tabung Am ialah tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada, manakala Tabung Istito'ah diwujudkan khusus untuk membantu pendeposit menyimpan secara sukarela dengan lebih berdisiplin dan berfokus ke arah persediaan menunaikan haji, serta menjadi penanda aras tahap kesiapsiagaan kewangan mereka selaras dengan prinsip Istito'ah.
-- BERNAMA