MADINAH : Sembilan puluh peratus sudah bersedia. Hanya 10 peratus belum, kerana menunggu kedatangan KT pertama jemaah haji ke Madinah 9 Mei ini.

Itu jaminan tahap persediaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi menerima kehadiran 31,600 jemaah haji bagi musim kali ini 1445H/2024M.

Pengarah Operasi Madinah bagi Musim Haji 1445H/2023M, Ashrof Shamsuddin berkata, persediaan TH kini mencapai skala 90 peratus lengkap.

Menurutnya, persediaan rapi itu meliputi kemudahan penginapan, perbankan, kaunter guru agama, perubatan dan perkhidmatan penghantaran barang serta bagasi ke tanah air.

Katanya, skala tersebut turut meliputi 10 maktab dan tiga hotel di Madinah.

“Saya boleh katakan ia berjalan lancar. Saya letakkan 90 peratus skala tahap persediaan kita untuk musim haji tahun ini.

“Baki 10 peratus itu disebabkan kebenaran urusan pemasangan kelengkapan yang hanya diboleh pihak hotel tiga hari sebelum tibanya jemaah haji dan bukannya lebih awal,,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Tabung Haji di sini.

Menurut Ashrof, kesemua jemaah haji yang akan menetap selama enam hari lima malam di Madinah mempunyai aktiviti yang telah dirangka pihak Tabung Haji.

Sementara itu, Ashrof berkata, tiga bangunan di Madinah dengan melibatkan dua zon dan 10 maktab di Mekah akan dijadikan sebagai tempat penginapan jemaah haji nanti.

Ashrof yang juga Naib Konsul Haji Malaysia menambah, kesemua jemaah haji yang akan menetap selama enam hari lima malam di Madinah mempunyai aktiviti yang telah dirangka pihak Tabung Haji.

Aktiviti yang dirangka itu, katanya, merupakan program bermanfaat dan disusun untuk jemaah haji Malaysia nanti.

"Antaranya, program taklimat Tabung Haji dan ziarah makam Rasulullah SAW selain ziarah luar yang meliputi beberapa kawasan antaranya Masjid Quba serta Jabal Uhud, Masjid Qiblatain dan juga Ladang Kurma," katanya

Justeru, TH, jelas beliau, mengharapkan jemaah haji mengambil peluang dan kebaikan selain pelajaran serta pengalaman daripada kisah sejarah yang mereka lawati sepanjang Ziarah Luar yang dirangka untuk mereka.

Dalam pada itu, persediaan TH dalam menyantuni jemaah haji Malaysia turut merangkumi soal komunikasi sesama jemaah dan TH.

"Ini diterjemah dalam inisiatif mewujudkan kumpulan WhatsApp yang bermula tahun lepas akan diteruskan pada tahun ini bagi tujuan penyaluran maklumat penting di mana semua jemaah haji akan dimasukkan dalam kumpulan tersebut mengikut penerbangan masing-masing," terang Ashrof.

Katanya, apabila jemaah haji tiba di Madinah, pengurusan Tabung Haji akan menjadi pentadbir (admin) kumpulan WhatsApp itu, sebelum digantikan pihak di Mekah pula bagi kumpulan WhatsApp sama apabila Dhuyufurrahman terbabit bergerak ke sana.

Seramai 31,600 jemaah haji bakal berlepas secara berperingkat menerusi penerbangan pertama bermula 9 Mei sehingga penerbangan terakhir 9 Jun kelak.

Selain jemaah haji, hampir 600 petugas akan digerakkan ke Tanah Suci tahun ini bagi membantu memudahkan urusan jemaah haji.

Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun 2024.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji negara melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudi Airlines.