Skip to main content

Malaysia

TH sepatutnya rugi RM1.4 bilion pada 2017, bukan untung RM3.4 bilion - RCI

Tabung Haji
TH didapati tidak merekodkan rosot nilai terhadap beberapa pelaburan dalam syarikat bersekutu dan anak syarikat, selain tidak mengambil kira sepenuhnya kejatuhan nilai beberapa aset pelaburan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mendapati institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017 sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya.

Menurut laporan yang diterbitkan hari ini, jumlah itu jauh berbeza berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang direkodkan dalam laporan kewangan TH bagi tahun yang sama.

RCI berkata penemuan itu menunjukkan kedudukan kewangan TH telah berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017.

Suruhanjaya berkata perkara itu dikenal pasti selepas firma PricewaterhouseCoopers (PwC) menjalankan semakan kewangan terhadap kedudukan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 susulan teguran yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara.

Menurut laporan setebal hampir 200 muka surat itu, PwC mendapati TH tidak merekodkan rosot nilai terhadap beberapa pelaburan dalam syarikat bersekutu dan anak syarikat, selain tidak mengambil kira sepenuhnya kejatuhan nilai beberapa aset pelaburan.

RCI turut mendapati TH mengagihkan hibah bagi tahun kewangan 2017 tanpa mengambil kira sepenuhnya kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan yang dimiliki institusi berkenaan.

Hibah tinggi antara punca kemerosotan kewangan

Laporan itu menyebut antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kedudukan kewangan TH ialah pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan sebenar institusi itu.

Menurut Suruhanjaya, tekanan untuk mengekalkan kadar hibah yang kompetitif turut mendorong TH mengambil risiko pelaburan yang lebih tinggi, khususnya dalam portfolio ekuiti yang terdedah kepada turun naik pasaran.

RCI juga mengkritik penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) dalam menentukan pembayaran hibah kerana pendekatan itu menghasilkan nilai aset yang lebih tinggi berbanding angka yang direkodkan dalam penyata kewangan beraudit.

Suruhanjaya berkata penggunaan RAV menyebabkan nilai aset yang digunakan bagi tujuan pengiraan hibah lebih tinggi berbanding nilai sebenar yang dilaporkan dalam penyata kewangan TH.

Audit Negara sepatutnya lebih tegas

Selain itu, RCI berpandangan Jabatan Audit Negara sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas terhadap beberapa isu yang dibangkitkan dalam audit kewangan TH bagi tahun 2017.

Menurut laporan itu, beberapa perkara yang dinyatakan sebagai "Emphasis of Matter" sepatutnya diklasifikasikan sebagai ketidakpatuhan yang lebih serius.

RCI turut berpandangan bahawa tanpa Sijil Audit Bersih, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan tahunan sebanyak 4.5 peratus dan hibah haji 1.75 peratus yang melibatkan pembayaran kira-kira RM2.75 bilion pada tahun berkenaan.

Suruhanjaya menyimpulkan krisis kewangan yang dihadapi TH ketika itu berpunca daripada gabungan beberapa faktor termasuk pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan yang disifatkan sebagai kreatif, kelemahan pengauditan serta strategi pelaburan yang melangkaui kemampuan kewangan sebenar institusi berkenaan.

Untuk rekod, RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger. 

Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022. 

RCI diberikan tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum menyiapkan laporan akhirnya pada 19 Julai 2022 dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement