Skip to main content

Malaysia

TH tegaskan pelunasan zakat bagi pendeposit sah, patuh hukum syarak

81622095664_TabungHaji.jpg
TH merupakan institusi yang tidak diwajibkan membayar zakat ke atasnya, namun wajib melunaskan zakat bagi pihak pendeposit. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan telah dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus menepis sebarang keraguan berhubung amalan pembayaran zakat institusi itu.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dalam mesyuaratnya pada 2 Sept 2020 berpandangan, status pembayaran zakat bagi pendeposit untuk tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan bahawa TH merupakan institusi yang tidak diwajibkan membayar zakat ke atasnya, namun wajib melunaskan zakat bagi pihak pendeposit.

“TH telah secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan ini.

“Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan (2016-2019), pada hakikatnya zakat yang dikeluarkan itu adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan perkara berkenaan berasaskan kepada pertimbangan bahawa TH tidak diwajibkan membayar zakat ke atas institusi itu, tidak mempunyai pemegang saham dan keseluruhan aset yang diniagakan dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit.

Sehubungan itu, menurut TH, kesemua zakat yang dibayar pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit, justeru mereka tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas dana deposit yang sama kerana ia akan mengakibatkan pertindihan zakat ke atas harta yang sama, yang tidak selaras dengan prinsip syariah.

Berhubung syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), TH menegaskan amalan zakat institusi itu telah dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah berkenaan pada Jun 2024.

“Pandangan Jawatankuasa Muzakarah tersebut seterusnya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-267 pada Oktober 2024.

“TH ingin memaklumkan bahawa keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh JPS TH yang dianggotai oleh pakar-pakar syariah dan kewangan Islam,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement