KUALA LUMPUR : Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan ke atas penganjuran acara pembukaan sebuah kelab yang melibatkan sekumpulan pihak yang dikenali “Thai Hot Guy”.

Menterinya, Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, selaku pihak berkuasa agama, Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau menegaskan, acara itu bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan penganjuran pembukaan sebuah kelab yang melibatkan sekumpulan pihak yang dikenali “Thai Hot Guy”. Menurut laporan, acara tersebut akan berlangsung di premis yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Penganjuran acara tersebut bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat. Apatah lagi dalam suasana umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan yang dipenuhi dengan kemuliaan, penganjuran acara berkenaan amat mendukacitakan serta tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Thai Hot Guy: 'KDN akan siasat, tidak wajar diteruskan' - Saifuddin

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan sebuah bar yang mahu menampilkan kumpulan Thai Hot Guy sehingga mengundang kecaman masyarakat, tidak sewajarnya diteruskan.

KDN juga akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti setiap fakta berhubung kejadian itu.