TAWAU: Ketua Warisan Bahagian Kalabakan, Sarifuddin Hata mengesahkan tidak ada seorang pun ahli Wirawati Bahagian itu keluar parti bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan, Rina Jainal.

Beliau berkata, Warisan Bahagian Kalabakan masih teguh dan utuh menyokong kepimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Bukan sahaja AJK Bahagian malah teman rapat dia (Rina) yang setiap hari bersama dia pun tidak ada yang ikut jejak langkahnya, kerana mereka tahu bertapa nilai susah payah perjuangan Parti Warisan dan tidak mudah bagi semua orang mengambil tindakan yang serupa,”

Terdahulu Sarifuddin berkata, karier politik Rina akan berakhir melalui tindakannya yang tidak releven kerana keluar dari parti yang besar dan kukuh dengan menyertai parti yang kecil.

"Dia belayar dengan kapal besar lompat ke kapal kecil, saya pun hairan, saya tidak boleh fikir, kalau dia lompat ke parti yang besar seperti Barisan Nasional, seperti Bersatu saya boleh fikir lagi tapi yang ini saya pun terkejut,"katanya.

Mengulas lanjut beliau menafikan khabar angin mengenai terdapat masalah dalaman di peringkat Bahagian itu sehingga mendorong Rina mengambil tindakan keluar parti.

"Kalau ada masalah dalaman parti tentu ramai telah keluar, saya rasa dia yang ada masalah tetapi saya tidak tahu apa masalahnya, mungkin masalah kewangan atau masalah peribadi, saya tidak tahu,"ujarnya.

Beliau berkata, alasan Rina keluar parti untuk kepentingan rakyat juga adalah alasan yang dangkal.

"Walaupun kita pembangkang, kita boleh buat kerja untuk rakyat, itu dari pemikiran kita yang kata tak boleh, kita yang selalu fikir tak ada peruntukan, yang selalu fikir kita tak ada duit lebih untuk diri sendiri.

"Sedangkan semua perkara boleh dibawa berbincang, itu semua dari kebijakkan kita sebagai pemimpin untuk menguruskannya,"katanya.

Dalam pada itu Sarifuddin menasihatkan semua ahli sentiasa kekal tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menjatuhkan imej parti.