Kementerian Kesihatan belum bercadang mengharamkan penggunaan kas-kas sebagai rempah dalam masakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, kandungan morfin dalam biji kas-kas adalah terlalu rendah dah disahkan selamat oleh Bahagian Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).

Menurut subramaniam, setakat ini, belum ada cadangan untuk mengubah polisi atau menetapkan sukatan penggunaannya dalam masakan.

Selain itu, katanya penggunaan biji kas-kas sebagai rempah dalam makanan, tidak menunjukkan risiko ketagihan yang signifikan.

"Biji kas-kas yang digunakan sebagai rempah dalam makanan adalah bahan yang dibenarkan di Malaysia. Prinsip di sebalik kebenaran itu adalah kerana jumlah kandungan yang sangat kurang.

"Secara saintifik, kandungan morfin adalah sangat rendah dan risiko ketagihan tidak signifikan," kata Subramaniam dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Setakat ini, katanya tiada sebarang cadangan untuk mengubah polisi namun pihaknya akan terus memantau bagi melihat sebarang isu yang berbangkit.

Tegas Subramaniam, kementeriannya akan mengambil tindakan bergantung kepada aduan yang diterima.

"Kami akan mengambil langkah jika menerima sebarang aduan. Jika ada aduan yang menunjukkan ada orang yang menyalahgunakannya kami akan siasat," kata Subramaniam.

Beliau menambah, ketagihan kas-kas mungkin hanya akan berlaku jika digunakan dalam jumlah yang banyak secara berterusan.

Jelasnya, biji kaskas biasanya digunakan dalam makanan dalam jumlah yang kecil bagi sebagai penambah perisa.