KUALA LUMPUR: Pasukan penganjur Persekutuan Permotoran Bahrain (BMF) kini bersedia sepenuhnya untuk Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang Malaysia dari 2 hingga 4 Okt, dengan pengaturan operasi dan penyelarasan terakhir sedang dijalankan.
Pengurus Besar BMF, Abdulaziz Al Thawadi berkata, kesemua anggota delegasi Bahrain kini bersedia untuk menjalankan tugas masing-masing semasa perlumbaan.
“BMF komited untuk menyediakan semua sumber yang ada bagi memastikan tahap kesediaan tertinggi menjelang acara antarabangsa utama.
“Semua pasukan bersedia sepenuhnya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka semasa perlumbaan,” katanya dalam sidang video bersama ketua-ketua pasukan penganjur di Kuala Lumpur pada Ahad, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).
Al Thawadi juga menggesa delegasi supaya terus bekerja sebagai satu pasukan untuk mempamerkan kepakaran Bahrain dan keupayaannya menyumbang kepada penganjuran acara sukan antarabangsa utama.
Mesyuarat itu, yang turut dihadiri oleh Presiden BMF dan Naib Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk Asia Barat dan Afrika Utara, Shaikh Abdulla bin Isa Al Khalifa, menyemak rancangan operasi dan penyelarasan pasukan untuk perlumbaan itu.
Shaikh Abdulla memuji persiapan pasukan BMF dan melahirkan rasa bangga terhadap golongan muda Bahrain kerana mewakili kerajaan dan mempamerkan keupayaan bakat negara itu pada acara sukan antarabangsa.
-- BERNAMA