MALAYSIA
'Tiada cawangan Tabung Haji ditutup'

Tiada mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk di kawasan luar bandar, telah ditutup setakat ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk di kawasan luar bandar, telah ditutup setakat ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, TH kini mengoperasikan sebanyak 107 cawangan di seluruh negara.
"Tidak ada cawangan ditutup tetapi berdasarkan rekod, cawangan-cawangan yang mempunyai transaksi yang sangat rendah akan digantikan dengan satu produk atau inisiatif yang baharu dipanggil TH Gerak.
"TH Gerak ini adalah satu kaunter yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan ia juga akan memaklumkan jadual tersebut di media sosial dan laman sesawang untuk memudahkan masyarakat melihat serta datang ke kaunter-kaunter tersebut," katanya.Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang bertanyakan bilangan pejabat TH di negeri dan daerah, dan dakwaan bahawa sebahagian pejabat lembaga itu akan ditutup.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, TH terus komited menambah baik perkhidmatannya kepada lebih 9.68 juta pendeposit di seluruh negara, seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Ujar beliau, lebih 80 peratus transaksi kewangan kini dilaksanakan secara dalam talian dan melalui platform elektronik, sekali gus mencerminkan perubahan tingkah laku pendeposit yang semakin cenderung kepada perkhidmatan digital.
"Alhamdulillah, tahun ini TH mendapat pengiktirafan tertinggi iaitu Labaytum 'Diamond Award' untuk pengurusan jemaah haji terbaik dunia daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi," tambahnya.
Sementara itu, Zulkifli menjelaskan, TH mengambil maklum bahawa terdapat sebilangan kecil jemaah haji Malaysia menghadapi kesukaran mendaftar data biometrik menerusi aplikasi Saudi Visa Bio.
Katanya, isu tersebut berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti mudah alih, ketidaktepatan pengimbasan wajah atau jari, dan keperluan menaik taraf sistem teknikal selari dengan perkembangan terkini.
"Bagi Musim Haji 1446H/2025M, TH telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi membantu memudahkan jemaah haji Malaysia menggunakan aplikasi ini.
"TH menyediakan panduan lengkap serta sokongan kepada jemaah melalui portal rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) bagi memuat turun dan menggunakan aplikasi Saudi Visa Bio.
"Panduan ini merangkumi langkah-langkah pendaftaran serta tip bagi memastikan proses berjalan lancar," jelas beliau.
Katanya lagi, Malaysia antara lapan negara terawal di dunia yang dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi bagi melaksanakan projek perintis aplikasi Saudi Visa Bio.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami