Skip to main content

Dunia

UNIFIL lapor peningkatan ketara aktiviti ketenteraan Israel di selatan Lubnan

Sumber: REUTERS
Dua minggu lalu menyaksikan peningkatan ketara aktiviti ketenteraan Israel di selatan Lubnan, sambil memberi amaran bahawa orang awam menanggung kesan paling buruk akibat ketegangan yang semakin meningkat, kata UNIFIL. - Gambar Reuters
Advertisement

BEIRUT/ISTANBUL: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Isnin berkata, dua minggu lalu menyaksikan peningkatan ketara aktiviti ketenteraan Israel di selatan Lubnan, sambil memberi amaran bahawa orang awam menanggung kesan paling buruk akibat ketegangan yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Antara 5 hingga 16 Ogos, UNIFIL merekodkan purata 137 projektil sehari, termasuk 208 pada Sabtu dan 185 pada Ahad. 

“Ketika ketegangan meningkat, orang awam sekali lagi menanggung kesan paling buruk, dengan banyak keluarga terpaksa berpindah atau mengubah rutin harian mereka akibat keadaan tidak selamat dan ketidaktentuan,” menurut UNIFIL dalam satu kenyataan.

UNIFIL berkata, pasukan pengamannya terus mengekalkan kehadiran di lapangan menerusi rondaan, pemantauan, mengalihkan halangan di jalan raya, mengurangkan risiko bahan letupan serta memudahkan akses bantuan kemanusiaan.

Menurut UNIFIL, Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB kekal sebagai kerangka asas untuk memulihkan kestabilan di selatan Lubnan.

Resolusi 1701 yang diterima pakai pada 2006 menyeru penghentian permusuhan antara Israel dan Hizbullah, selain memperkukuh penempatan tentera Lubnan dan UNIFIL di selatan negara itu.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Isnin menyuarakan sokongan terhadap pelanjutan mandat UNIFIL dan penerimaan satu formula yang memastikan kehadiran berterusan pasukan antarabangsa di kawasan berkenaan.

Mandat UNIFIL di selatan Lubnan akan tamat pada penghujung 2026 ketika perdebatan antarabangsa mengenai masa depan dan misi pasukan itu berlangsung. 

Beirut pula menegaskan kehadiran UNIFIL perlu dikekalkan sebagai elemen penting bagi kestabilan di selatan negara itu.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika usaha sedang dijalankan untuk memperkukuh aturan keselamatan berkaitan perjanjian “formula rangka kerja” yang ditandatangani Beirut dan Tel Aviv pada 26 Jun.

Perjanjian itu menetapkan pengunduran Israel secara berperingkat dari semua wilayah Lubnan yang diduduki, yang kemudiannya dijangka disusuli penempatan tentera Lubnan di kawasan yang dikosongkan.

Perjanjian itu turut menggesa pelucutan senjata “kumpulan bersenjata”, merujuk kepada Hizbullah.

Tentera Israel masih berada di beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya diduduki sejak beberapa dekad lalu.

Kawasan lain pula kekal diduduki sejak pertempuran pada 2023 dan 2024, apabila tentera Israel mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah berdaulat Lubnan.

Angka kematian akibat serangan berulang Israel di selatan Lubnan meningkat kepada 4,346 orang sejak 2 Mac, selepas 11 orang terbunuh pada Sabtu dalam dua serangan udara Israel. 

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement