Skip to main content

Bisnes

Ringgit kukuh berbanding mata wang utama, tidak banyak berubah daripada dolar AS

BERNAMA
Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama tetapi tidak banyak berubah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan jangkaan bahawa kemungkinan untuk kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dinaikkan pada September semakin rendah. - Gambar hiasan/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama tetapi tidak banyak berubah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan jangkaan bahawa kemungkinan untuk kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dinaikkan pada September semakin rendah, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.0585/0675 berbanding dolar AS daripada 4.0585/0630 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sekiranya kemungkinan kenaikan kadar faedah AS kekal rendah, keadaan itu akan menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

Bagaimanapun, beliau berkata, ekonomi Malaysia kini dalam keadaan yang baik, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal tinggi manakala kadar inflasi masih terkawal.

"Data indeks harga pengguna (IHP) yang terkini menunjukkan inflasi keseluruhan dan teras, masing-masing menyederhana kepada 1.8 peratus pada Julai.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit bergerak dalam julat antara 4.06 hingga 4.08 berbanding dolar AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada awal dagangan, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5471/5529 daripada 2.5496/5526 semasa ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4993/5115 daripada 5.5021/5082.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7010/7114 daripada 4.7062/7115 sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1772/1845 daripada 3.1804/1842 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.2836/3175 daripada 12.2948/3136.

Unit tempatan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.60/6.61 dan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.6 daripada 228.0/228.3 semasa ditutup semalam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement