SEMPORNA:Tiada halangan untuk pendakwah terkenal Ebit Lew meneruskan misi bantuan di Semporna, Sabah.

Namun menurut Pegawai Daerah Semporna, Suhaimi Ejip, beliau perlu terlebih dahulu memaklumkan tujuan kedatangan kepada pihak berkaitan sebagai tuan rumah di daerah itu.

Suhaimi berkata beliau memahami niat ikhlas Ebit Lew tetapi pihaknya tidak menerima makluman daripada pendakwah bebas itu sendiri.

BACA: Ebit Lew Islamkan satu kampung di Sabah

"Saya sebagai tuan rumah mengalu-alukan kedatangan beliau dan menghargainya namun apabila kita memasuki 'rumah', kita harus mengetuk 'pintu rumah' terlebih dahulu, namun beliau tidak datang ke Pejabat Daerah Semporna.

"Sebaliknya hanya memaklumkan jadual perjalanannya melalui pembantu peribadinya dan tidak bertemu secara bersemuka menerangkan tujuan dan jabatan yang mempunyai autoriti yang membenarkan individu atau agensi masuk ke daerah adalah Pejabat Daerah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Suhaimi berkata perkara itu perlu mengikut protokol iaitu permohonan untuk mendirikan struktur melalui proses di bawah Ordinan Tanah Bab 68 (permohonan tanah) terlebih dahulu bagi tujuan pembinaan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan pulau.

"Kita memberi sokongan moral kepada beliau sebagai Muslim namun untuk pembinaan penempatan di bawah seliaan Taman-Taman Sabah (TTS).

"Jika Ebit melalui Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), mereka juga perlu rujuk kepada Pejabat Daerah. Kalau buat pondok sementara kita mungkin boleh benarkan atas dasar budi bicara namun jika mendirikan kelas KAFA ia bersifat kekal dan pulau itu ada pemilik atau pewarisnya," katanya.

Misi Bantuan | Tiada halangan terhadap Ebit Lew laksana bantuan

Sehubungan itu, Suhaimi menasihatkan supaya pihak yang ingin melakukan perkara demikian tidak mengambil tindakan melulu dengan melengkapkan barang perkakasan pembinaan tanpa kebenaran tuan tanah terlebih dahulu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika diminta mengulas berhubung isu pendakwah bebas itu tidak dibenarkan memasuki pulau disebabkan isu keselamatan, beliau memaklumkan perkara itu di bawah pengurusan dan kawalan serta tanggungjawab oleh pihak TTS.

BACA: Tiada halangan untuk Ebit Liew anjur misi bantuan - Pesuruhjaya Polis Sabah

"Tidak (bukan isu keselamatan). Ia hanya lebih kepada isu kebenaran masuk dalam kawasan yang diwartakan dan di bawah pengurusan dan kawalan serta bidang tanggungjawab oleh pihak TTS," katanya.

Terdahulu, tular kenyataan daripada pendakwah bebas itu melalui Facebooknya bahawa beliau meminta maaf kepada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang beliau Islamkan di Semporna.

Dalam kenyataan itu, beliau mendakwa tidak dibenarkan masuk ke pulau di Semporna dan diminta untuk menghentikan bantuan selain memaklumkan bahawa beliau boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun.

BACA: Ebit Lew dakwa akan dipenjara 3 tahun sekiranya teruskan bantuan di Sabah