KUALA LUMPUR:Bukan satu isu besar bagi kerajaan untuk mempercepatkan kelulusan penggunaan vaksin Pfizer, sepertimana yang dilakukan negara lain, termasuk Singapura.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pakar-pakar kesihatan juga menerima pertanyaan mengapa Malaysia mengambil masa begitu lama untuk membuat keputusan meluluskan penggunaan vaksin di negara ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui, Malaysia bersikap berhati-hati terhadap aspek keselamatan vaksin.

"Mungkin kerajaan kita berhati-hati, untuk melihat rancangan atau program vaksinasi ini telah dijalankan, dan kita dapat beberapa maklumat tambahan berkenaan kesan sampingan.

"Jadi, saya rasa itu antara sikap kerajaan Malaysia, iaitu untuk berhati-hati. Tetapi, lebih (cepat) baik, lebih bagus.

"Dan kami di pihak kepakaran, tak berapa nampak apa isu besar yang menghalang keputusan vaksinasi dalam kadar yang segera," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mempercepatkan kelulusan penggunaan vaksin dari Pfizer memandangkan Singapura sudah berbuat demikian.


BACA: Vaksin COVID-19: Singapura terima penghantaran pertama Pfizer-BioNTech

Semalam, Singapura menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19, sekali gus menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech.

Memetik laporan CNA, penghantaran tersebut diterbangkan menggunakan pesawat Singapore Airlines (SIA) 747-400 yang berlepas dari Brussels pada Ahad dan mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 7.36 petang.

Singapura merupakan antara negara terawal yang meluluskan dan menerima vaksin COVID-19.