KUALA LUMPUR:Tidak ada cara lain untuk mendapatkan vaksin COVID-19, selain suntikan.

Hal itu dijelaskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika muncul sebagai tetamu radio Era, petang tadi.

"Vaksin hanya diberi melalui suntikan. Setakat ini tak ada cara lain.

"Saya faham mungkin ada yang takut jarum, tapi kita semua sudah biasa menerima suntikan pelbagai jenis imunisasi sejak kecil.

"Kalau masih takut, kena beranikan juga. Sakit sikit dan sekejap sahaja, tetapi kita akan memperoleh perlindungan jangka panjang daripada virus ini," katanya menjawab soalan dari deejay, Radin dan Danial dalam segmen Era DBoyz.

BACA: Vaksin COVID-19: Saringan sejarah alahan, kesihatan dijalankan sebelum suntikan

BACA: Perjalanan ke luar negara mungkin lebih mudah jika divaksinasi - Perdana Menteri

BACA: Jangan ambil mudah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan - Perdana Menteri

Dalam temubual secara maya selama 15 minit itu, Khairy sekali lagi merayu kepada orang ramai agar mendapatkan suntikan vaksin apabila ia sudah tersedia kelak.

"Kepada yang ada masalah kesihatan atau alahan tertentu, sedang menjalani rawatan atau ibu mengandung, anda boleh merujuk kepada doktor masing-masing untuk mengetahui lebih lanjut jika anda boleh menerima vaksin.

"Tetapi bagi yang sihat dan tak ada masalah kesihatan, saya berharap semuanya mendapatkan suntikan vaksin nanti," katanya.