Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menafikan laporan kononnya terdapat kenaikan pada harga barangan kawalan.

Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan Datuk Saripuddin Kassim berkata tidak berlaku kenaikan pada harga barangan kawalan iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan bahan petroleum seperti petrol RON95, RON97 dan diesel serta gas petroleum.

"Harga bagi barang-barang tersebut kekal sepertimana sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Mengulas dakwaan berkaitan kenaikan harga barangan yang disebarkan semasa dan selepas pilihan raya umum ke-13, beliau berkata pihak Kementerian akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Saripuddin berkata pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan ke atas harga dan bekalan barangan terkawal bagi memastikan kestabilan harga dan bekalannya.

"Para pegawai penguatkuasa dan para pemantau harga di seluruh negara akan digerakkan untuk melaksanakan tugas ini.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan," katanya.

Pengguna boleh membuat aduan kepada pihaknya menerusi pejabat cawangan atau menelefon 1MOCC melalui talian 03-80008000 atau menerusi e-talian http://e-aduan.kpdnkk.gov.my jika terdapat peniaga yang menaikkan harga, katanya.