MALAYSIA
Tiada keperluan tutup sekolah kurang murid, penuhi kepentingan pendidikan - Wong

Wong (foto) berkata bagi memastikan SKM terus relevan, beberapa pendekatan telah dilaksanakan bagi memastikan pengurusannya lebih tersusun tanpa menjejaskan akses pendidikan kepada murid di kawasan berkenaan. -Gambar fail/Bernama
IPOH: Tiada keperluan menutup mana-mana sekolah kurang murid (SKM) kerana institusi itu memenuhi kepentingan pendidikan serta menjadi nadi kepada komuniti setempat, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Ringkasan AI
- Tiada sekolah kurang murid (SKM) akan ditutup kerana ia penting untuk akses pendidikan dan menjadi nadi komuniti setempat.
- KPM mengekalkan SKM di lokasi asal walaupun hanya ada tiga murid, serta melaksanakan percantuman kelas untuk sekolah dengan kurang 30 murid.
- Pemindahan SKM ke lokasi baharu hanya dilakukan sebagai langkah terakhir, bergantung kepada keperluan teknikal dan kerjasama pelbagai pihak.
"Selain itu, kita juga mengambil pendekatan melakukan percantuman kelas melibatkan tahun satu dan tahun dua serta tahun empat dengan tahun lima jika SKM itu mempunyai bilangan murid kurang daripada 30 orang," katanya.
Wong berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Penyelenggaraan Sekolah Bantuan Kerajaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara di sini hari ini.
Pada 15 April tahun lepas, Wong berkata sebanyak 3,038 sekolah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai SKM dan beberapa dasar dirangka oleh KPM bagi melancarkan pengendalian institusi pendidikan terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata pemindahan SKM ke lokasi baharu merupakan pendekatan terakhir untuk dilakukan, namun perkara itu bergantung pada beberapa aspek teknikal dan kerjasama pelbagai pihak.
"Terma ini mengambil kira pemindahan dari lokasi asal ke lokasi baharu. Namun, bergantung pada keperluan dan kawasan yang dibenarkan untuk membina sekolah itu. Ia agak teknikal dan memerlukan penglibatan pelbagai pihak," katanya.
Wong berkata usaha itu membuktikan kerajaan serius menangani isu SKM tanpa menjejaskan hak pendidikan kanak-kanak untuk berjaya dalam pendidikan walaupun berada di kawasan pedalaman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami