Skip to main content

Malaysia

Tiada kes jangkitan rabies di Pulau Pinang, JKNPP siap siaga - Exco

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata pihaknya juga tidak mengesan jangkitan rabies melibatkan haiwan setakat ini, namun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sentiasa berwaspada susulan kes berkenaan di Kedah baru-baru ini. - Gambar fail
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata pihaknya juga tidak mengesan jangkitan rabies melibatkan haiwan setakat ini, namun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sentiasa berwaspada susulan kes berkenaan di Kedah baru-baru ini. - Gambar fail

Advertisement

GEORGE TOWN: Tiada kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Pulau Pinang, sejak dua kes terakhir direkodkan pada 1975.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata pihaknya juga tidak mengesan jangkitan rabies melibatkan haiwan setakat ini, namun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sentiasa berwaspada susulan kes berkenaan di Kedah baru-baru ini.

“Walaupun tiada kes rabies dikesan di Pulau Pinang setakat ini, kita sentiasa bersiap siaga sekiranya terdapat sebarang insiden tidak diingini,” katanya pada sidang media Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memantau situasi jangkitan rabies di Pulau Pinang.

Gooi turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya digigit haiwan, termasuk segera mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jangkitan.

Pada 27 Sept lepas, seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, Kedah meninggal dunia akibat jangkitan rabies selepas mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos.

Insiden berkenaan menjadi kes rabies dalam kalangan manusia pertama dilaporkan di negeri itu sejak 1998.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement