PUTRAJAYA:Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak menerima sebarang laporan berhubung kes pedofilia yang didakwa berlaku di sebuah perkampungan di Negeri Sembilan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata NGO berkenaan tidak memberikan bukti laporan polis serta data yang sahih berhubung dakwaan kes pedofilia yang berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, NGO itu dikatakan menerima maklumat kes tersebut semasa menjalankan program di perkampungan berkenaan pada 29 Julai 2019.

Hasil siasatan pegawai JAKOA dua minggu lepas, tiada laporan dibuat oleh penduduk kampung berkenaan ketika program 'Jiwa Murni dan Kesejahteraan Komuniti' yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan pada tahun lepas, katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas laporan akhbar kononnya terdapat kes pedofilia dalam kalangan masyarakat Orang Asli di sebuah perkampungan di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pegawai JAKOA daerah juga telah mendapatkan pengesahan daripada Batin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) serta penduduk kampung dan mendapati tiada sebarang laporan dibuat berkenaan kes pedofilia seperti didakwa.

Abdul Rahman berkata JAKOA memandang serius dakwaan tersebut dan bersedia memberikan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan, NGO dan individu dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli mengenai isu pedofilia.

-- BERNAMA