BENTONG: Aliran trafik dari ibu negara menghala ke Pantai Timur tidak mengalami sebarang kesesakan disebabkan sebahagian warga kota mahu pulang ke kampung sempena Aidiladha, seperti yang didakwa beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata keadaan trafik terkawal malah bilangan kenderaan di laluan berkenaan sebenarnya agak minimum.

“Sebenarnya tidak terdapat apa-apa kesesakan seperti yang dilaporkan dan ditularkan. Sejak semalam aliran trafik di laluan ini terutamanya dari arah Kuala Lumpur menghala ke Pantai Timur adalah baik dan lancar.

“Malah boleh dikatakan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan ini agak minimum,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Semalam beberapa media melaporkan aliran trafik di laluan berkenaan naik secara drastik berikutan Aidiladha yang akan disambut Selasa ini.

Sebahagian warga kota dikatakan cuba merentas negeri walaupun pihak berkuasa telah melarang aktiviti berkenaan melainkan mendapat kebenaran atas alasan yang kukuh.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI sejak semalam juga mendapati laluan keluar dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur tidak mengalami kesesakan.