Tiada lagi aksi Semek yang manja...

Nur Fazlizai Ali
September 16, 2020 05:47 MYT
Muhammad Syukur sedih ketika bercerita kepada wakil Astro AWANI mengenai kerbau kesayangannya, Semek. - Astro AWANI
"Tiada lagi aksi Semek yang manja. Tiada lagi yang akan menemani saya untuk penggambaran selepas ini."
Demikian antara luahan Muhammad Syukur Khamis, juga dikenali sebagai Mowgli Malaysia, selepas kerbau kesayangannya mati pagi ini, dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia.
Setakat pagi ini, jumlah keseluruhan kematian kerbau yang direkodkan ialah sebanyak 50 ekor.
Pelajar yang berusia 15 tahun itu berkata, walaupun mempunyai beberapa ekor lagi kerbau kesayangan, Semek merupakan antara haiwan ternakannya yang paling rapat dan manja dengannya.
Katanya, dia masih terkejut dengan kematian Semek kerana sebelum ini ia tidak menunjukkan tanda-tanda diserang hawar berdarah.
Menurut Muhammad Syukur, hampir empat tahun mereka sering menghabiskan masa bersama dan Semek juga turut digunakan dalam penggambaran telemovie Budok Kuba baru-baru ini.
"Saya sampai di sini tadi dalam pukul 7 lebih. Rasanya ia baru mati, sebab tubuhnya masih panas. Biasanya, waktu petang, kita selalu main dengan Semek.
"Tetapi kelmarin tak sempat main dengannya sebab saya sibuk menguruskan kerbau yang mati," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kandang ternakannya hari ini.
Muhammad Syukur berkata, aksi lakonannya bersama Semek menjadi kenangan manis yang terakhir antara mereka.
"Semasa berlakon, bila disuruh tidur, ia tidur. Ia senang mendengar kata berbanding yang lain," tambahnya.
Pada Isnin, lebih 35 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur ditemui mati di kandang di Kampung Kubang Bujuk, di sini.
BACA: Kandang kerbau keluarga Syukur diisytihar kawasan larangan
BACA: Kematian kerbau 'Mowgli Malaysia': Vaksin hawar berdarah percuma, hanya perlu kerjasama penternak
BACA: Apa itu hawar berdarah punca kerbau 'Mowgli Malaysia' mati bergelimpangan?
Kesedihan keluarga 'Kampung Boy' itu, yang berdepan episod duka kematian kerbau bermula 9 Sept itu, mendapat simpati netizen.
Ramai rakyat Malaysia yang mendoakan agar keluarga itu tabah dengan dugaan tersebut.
Mengimbas kembali kenangan terakhirnya bersama Semek, Muhammad Syukur berkata dia telah mengasingkan Semek bersama anak sulung yang diberi gelaran Along sejak semalam.
"Along telah diberi suntikan antibiotik pada 9 Sept lepas namun suntikan itu tidak boleh diberi kepada Semek kerana ia sedang bunting anak kedua.
"Harapan saya, tiada lagi kerbau yang akan mati disebabkan penyakit ini kerana kami sedang dalam proses membuat kuarantin untuk kerbau yang masih sihat, dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu," katanya.
#hawar berdarah #keluarga #kerbau #Kuala Terengganu #mati #Mowgli Malaysia #Muhammad Syukur Khamis #pelajar #Semek #suntikan #ternakan