GEORGE TOWN: Polis tidak menerima sebarang laporan polis berhubung maklumat tular mengatakan seorang individu yang dijangkiti COVID-19 telah pergi merata tempat bertujuan menyebarkan wabak COVID-19 kepada orang ramai di kawasan Bayan Baru, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata setakat ini tiada maklumat berkenaan perkara itu diterima daripada mana-mana pihak.

"Tiada laporan sedemikian setakat ini, malah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak meminta bantuan pihak kita mengesan individu tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa seorang lelaki yang positif COVID-19 telah bertindak menyebarkan wabak berkenaan kepada orang ramai di bahagian pulau dan sekitar Butterworth di negeri ini.

Memandangkan maklumat tersebut telah tular, Anbalagan menasihatkan individu atau penama atau ahli keluarga yang dikaitkan dengan khabar angin itu tampil membuat laporan polis.

"Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk membuat laporan polis," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anbalagan menasihati orang awam supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih yang boleh menggugat keharmonian serta mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Menurut maklumat yang tular di media sosial Facebook dan WhatsApp, seorang lelaki didakwa positif COVID-19 menjadi buruan polis selepas dia didakwa bertindak mahu menyebarkan wabak berkenaan kepada orang awam.

Lelaki berkenaan dikatakan telah melarikan diri dari rumah selepas disahkan positif.