KUALA LUMPUR:Taman-Taman Sabah (TTS) tidak menerima makluman awal daripada rombongan Ustaz Ebit Lew untuk kebenaran khas memasuki pulau di Semporna yang dikenali sebagai Taman Marin Tun Sakaran.

Lembaga Pemegang Amanah TTS dalam kenyataan berkata, setiap individu atau kumpulan memerlukan kebenaran khas untuk memasuki kawasan kendalian TTS terutama pulau yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, merujuk kepada kenyataan di media sosial rasmi TTS pada 12 Januari lalu, seluruh kawasan di TTS ditutup sementara bermula 13 Januari lalu selaras pelaksanaan PKP.

"Rombongan Ustaz Ebit Lew merupakan rombongan orang awam yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP dan pada masa yang sama pihak TTS tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

 
Sumber Facebook SbhParks

"Selain itu, pembinaan struktur bangunan di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

"Perkara ini berkaitan dengan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau ini seperti yang terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran tahun 2004," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA: Ebit Lew dakwa akan dipenjara 3 tahun sekiranya teruskan bantuan di Sabah

BACA: Tiada halangan, Ebit Lew perlu ikut protokol - Pejabat Daerah Semporna

Semalam, Pendakwah bebas yang terkenal dengan sifat dermawannya, Ebit Lew terpaksa menangguhkan niatnya untuk meneruskan misi bantuan di Sabah kerana tidak dibenarkan untuk menjelajah ke pulau-pulau di Semporna bagi menyampaikan sumbangan.

Beliau juga mendakwa, boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun jika niat berkenaan diteruskan.

Tambah kenyataan TTS itu lagi, pihaknya membenarkan rombongan Ustaz Ebit Lew memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya selepas mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara.

Malah, pihak TTS sangat menyokong usaha murni dan bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di semua taman di seluruh Sabah.

"Pihak Pengurusan TTS juga amat menghargai pendirian dan ketegasan Pegawai dan Renjer Taman di Taman Marin Tun Sakaran yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka melindungi kawasan taman yang kini dalam fasa kerehatan daripada gangguan pelancong serta pelawat taman.

"Perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi taman di seluruh TTS akan tetap diteruskan termasuk semasa tempoh PKP dan tempoh perintah berkurung di seluruh negara," katanya.

 
Sumber Facebook SbhParks