KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan membawa bekalan ubatnya sendiri yang diperoleh daripada hospital swasta ketika berada di dalam penjara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah memeriksa prosedur Jabatan Penjara Malaysia dan perkara sebegitu sememangnya dibenarkan.

Sehubungan itu, Khairy menegaskan, tidak timbul isu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan bekas Perdana Menteri itu untuk menerima ubat yang biasa diambilnya sebelum ini.

"Dalam prosedur penjara, sekiranya banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan tidak mahu menerima ubat yang dibekalkan KKM, saya difahamkan boleh dibenarkan, tidak menjadi masalah pun.

"Saya telah maklumkan kepada keluarga beliau, sekiranya mereka nak bekalkan jenama ubat tertentu kepada Datuk Seri Najib, tidak jadi masalah tapi ubat kita beri di hospital itu ubat generik.

"Kalau nak bawa ubat sendiri, tak menjadi masalah dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada keluarga beliau. Cuma pada hari tersebut, beliau berada di HKL dan kita beri ubat generiklah," kata Khairy.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dengan IHH Healthcare pada Rabu.

Khairy juga difahamkan Ahli Parlimen Pekan itu sudah membawa bekalan ubatnya di penjara.

Justeru, jelas Khairy, tidak timbul isu Najib dinafikan hak untuk menggunakan ubatnya sendiri ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas peguam Najib, Datuk Zaid Ibrahim yang menggesa KKM memberikan Najib ubat yang selalu digunakan untuk penyakit darah tingginya.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan di Facebook, Zaid berharap Khairy memastikan Najib diberi ubatan yang sesuai dengan penyakitnya.