Tiada pemotongan bajet sedia ada untuk sekolah di negara ini yang diambil bagi disalurkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan berkata, walaupun diakui ada penyaluran wang, ia disifatkan pendahuluan dan akan dipulangkan semula kelak.

"Kementerian menggunakan wang 'one off' daripada Tabung Penyelenggaraan Sekolah sebanyak RM350 juta untuk banjir yang dikhususkan bagi membaiki sekolah terbabit.

"Namun sekolah seni tidak terlibat dalam isu ini dan wang itu dalam bentuk pendahuluan dan akan dikembalikan semula nanti," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Kamalanathan mengulas catatan di blog Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A Kadir Jasin yang dilaporkan berkata seorang Ketua Setiausaha Sulit kepada seorang menteri kanan memaklumkan kepadanya bahawa semua kementerian, jabatan dan agensi "diarahkan" agar memulangkan peruntukan sebanyak RM2 bilion kerana kerajaan tidak ada peruntukan untuk membantu mangsa banjir Disember lalu.

Jelas Kadir, itu salah satu sebab peruntukan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dikurangkan sebanyak RM120 juta bagi tahun ini.

"Saya bimbang kerajaan sebenarnya tidak ada wang walaupun macam-macam jaminan diberikan kononnya kedudukan kewangan negara kukuh," kata Kadir dalam catatan blognya.

BACA: Kerajaan bakal wujudkan makmal hadapi banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan berkata, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini telah mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dengan anggarannya mencecah hampir RM2.9 bilion.

Sebelum ini, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sebanyak RM610 juta kerugian dicatat dalam bencana banjir yang melanda Pahang berikutan kemusnahan harta benda, hasil pertanian dan infrastruktur.

BACA: Terengganu anggarkan nilai kerosakan prasarana, barangan sekolah lebih RM14 juta

BACA: Banjir Kelantan: Usaha semua pihak perlu untuk hindari banjir buruk berulang


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sebelum ini berkata, Bajet 2015 yang diumum pada 10 Oktober tahun lepas juga dilihat akan terganggu dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri kebelakangan ini.

Ujarnya, beberapa penambahan peruntukan dijangka berlaku terutama untuk proses pembinaan semula kawasan terjejas.