KENINGAU: Tiada sebarang perbincangan diadakan dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan berhubung cadangan membenarkan kemasukan pelarian perang Palestin ke negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turut menegaskan bahawa Kabinet juga tidak pernah membincangkan soal mengenai sokongan kepada Hamas sejak konflik Israel dan Palestin memuncak beberapa minggu lalu.

"Banyak pandangan yang dilontarkan di pelbagai platform perbincangan rakyat terkait dengan konflik Israel-Palestin. Saya ingin menyatakan bahawa Kabinet kerajaan Persekutuan tidak pernah membincangkan sebarang cadangan mengenai kemasukan pelarian perang Palestin ke negara ini atau sebarang sokongan ke atas Hamas.

"Kabinet hanya bersetuju menyalurkan bantuan kemanusian melalui pungutan derma untuk membantu rakyat Palestin sama ada yang beragama Islam atau Kristian yang menjadi mangsa kepada konflik perang di wilayah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'mirumo-rumo' (santai) anjuran UPKO Bahagian Keningau, di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam ada itu menyatakan pendirian partinya untuk mengutamakan kesusahan rakyat Malaysia terutama di Sabah yang memerlukan pembelaan daripada kerajaan.

Tambah Ewon lagi, pada masa sama kerajaan harus mengambil ikhtibar daripada masalah pendatang asing yang bermula daripada penerimaan masuk pelarian perang Filipina ke negeri ini.

"Sekiranya perkara mengenai pelarian perang Palestin dibawa ke mesyuarat kabinet Persekutuan, sudah tentu saya akan menyatakan pandangan dan pendirian saya.

"Pertama, dalam konteks Sabah, kerajaan mesti mengambil ikhtibar daripada masalah pendatang asing di Sabah yang semakin kompleks kerana bermula daripada penerimaan mereka sebagai pelarian perang saudara di Filipina.

"Kedua, berdasarkan kepada laporan data kemiskinan, lapan daerah di Sabah disenaraikan yang paling termiskin di Malaysia. Maka bantuan kemanusian dan bantuan-bantuan kerajaan yang lain harus difokuskan kepada usaha membawa daerah-daerah ini keluar daripada kemiskinan.

"Inilah pandangan dan pendirian yang akan saya sampaikan kepada kabinet sekiranya perkara ini dibincangkan. "Namun, setakat ini Kabinet persekutuan tidak pernah membincangkan sebarang cadangan membawa masuk pelarian perang Palestin ke negara ini,” katanya. - Sinar Harian