Tiada sekatan ke KL sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN - SILA

Raja Saifful Ridzuwan berkata sekatan trafik terhad kepada radius satu kilometer di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang akan menjadi venue utama persidangan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA) memberi jaminan tiada sekatan untuk ke Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan minggu depan.
Ringkasan AI
- SILA sahkan tiada sekatan penuh ke Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 (2628 Okt), hanya lencongan trafik terhad sekitar KLCC dan laluan konvoi.
- PDRM laksana lencongan berperingkat melibatkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama, dengan 1,111 anggota trafik ditugaskan; orang ramai digalakkan guna pengangkutan awam.
- Sidang kemuncak bakal dihadiri pemimpin dunia termasuk Donald Trump, Li Qiang, Lula da Silva dan Cyril Ramaphosa, menjadikan ia acara kemuncak Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
"Maklumat dan perkembangan terkini mengenai lencongan jalan raya akan diberikan dari semasa ke semasa menerusi media dan media sosial. Kami menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai berkata bahawa pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sempena sidang kemuncak berkenaan.
Bagaimanapun, susulan salah faham banyak pihak, Mohamad semalam menjelaskan tiada penutupan penuh atau lockdown akan dilaksanakan, sebaliknya beliau hanya memberikan peringatan kepada orang ramai agar tidak berada di sekitar kawasan KLCC semasa sidang kemuncak.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata tiada penutupan penuh jalan akan dilakukan, sebaliknya hanya lencongan dan penyuraian trafik sementara secara berperingkat sepanjang persidangan itu.
Mohd Yusri berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan ketua-ketua negara serta delegasi.
Beliau berkata keutamaan petugas di lapangan adalah memastikan tindakan penyuraian dan lencongan jalan dikawal dengan baik dan orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan kesesakan dan kesulitan sepanjang tempoh tersebut.
Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat melibatkan penugasan 1,111 pegawai dan anggota trafik sepanjang persidangan.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan PDRM akan melaksanakan raptai (dry run) lencongan jalan bermula hari ini hingga 22 Okt.
Lencongan melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pangkalan Udara TUDM Subang ke hotel-hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur, KLCC dan Seri Negara.
Orang ramai masih boleh menggunakan jalan raya terbabit namun dinasihatkan agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan petugas trafik.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri sidang kemuncak itu, selain pemimpin ASEAN, rakan dialog dan para pegawai kanan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami