LUMUT: Kematian seorang lelaki yang terperosok di bawah kereta ketika dikatakan cuba menahan kereta berkenaan dari menggelongsor ke laut di Teluk Senangin di sini malam tadi, tidak melibatkan elemen jenayah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 31 tahun itu datang ke pantai berkenaan bersama seorang rakan untuk memancing.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona bersama rakannya itu telah meninggalkan kenderaan berkenaan di kawasan berbukit menghala ke pantai tanpa mematikan enjin.

Katanya, mangsa dan rakannya kemudian keluar dari kereta untuk melihat kesesuaiannya tempat bagi aktiviti memancing.

"Secara tiba-tiba rakannya terdengar suara mangsa menjerit meminta pertolongan dan melihat kereta itu telah mengelongsor ke kawasan pantai.

"Mangsa dikatakan berada di hadapan kenderaan tersebut bagi menghalang kenderaannya terus bergerak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa cuba memberi bantuan, namun lelaki itu telah terjatuh di bahagian bawah kenderaan yang ditenggelami air.

Tambahnya, mangsa berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam selepas 20 minit kemudian.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati, kematian mangsa akibat lemas," ujarnya.

BACA: Lelaki lemas, kereta menggelongsor masuk laut

Nor Omar berkata, siasatan polis ditempat kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia terperosok bawah kereta ketika dikatakan cuba menahan sebuah kereta dari menggelongsor ke laut di Teluk Senangin di sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, mangsa dikenali Muhammad Hafiz Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat lemas.