Skip to main content

Malaysia

Tiba masa Akta Perlindungan Guru digubal - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjawab soalan dari pengamal media pada Sesi Konsultasi Rang Undang-Undang MARA 2026 di sebuah hotel hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf Wajdi berkata perlindungan undang-undang yang sewajarnya penting bagi memastikan guru dapat menjalankan amanah tanpa rasa takut dikenakan tindakan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi warga pendidik yang menjalankan tugas dengan niat baik (good faith), secara munasabah serta mematuhi prosedur ditetapkan dalam mengawal disiplin dan keselamatan pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan mewujudkan akta berkenaan sering dibangkitkan susulan kebimbangan bahawa guru kini semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menurut beliau, perlindungan undang-undang yang sewajarnya penting bagi memastikan guru dapat menjalankan amanah tanpa rasa takut dikenakan tindakan hanya kerana melaksanakan tugas profesional mereka.

“Guru sering perlu membuat keputusan serta-merta dalam situasi melibatkan disiplin, keselamatan atau kecemasan pelajar.

"Sekiranya tindakan itu dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana ketidakpuasan hati pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan pada, Khamis.

Beliau berkata, antara rasional utama Akta Perlindungan Guru adalah untuk melindungi guru yang bertindak mengikut prosedur, selain mengurangkan budaya litigasi dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan sekolah.

Katanya, mekanisme seperti siasatan dalaman atau mediasi boleh diwujudkan sebagai langkah penyelesaian awal sebelum sesuatu perkara dibawa ke mahkamah.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, akta berkenaan juga boleh memperuntukkan sokongan undang-undang kepada guru termasuk bantuan guaman atau indemniti kerajaan bagi mereka yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi.

“Ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri. Perlindungan yang bersesuaian akan memberikan keyakinan kepada guru untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa tekanan berlebihan.

"Kebimbangan berdepan saman atau tindakan undang-undang boleh menyebabkan sebahagian guru menjadi terlalu berhati-hati sehingga mengelak mengambil tindakan disiplin yang wajar terhadap pelajar," ujarnya.

Asyraf Wajdi berkata, keadaan itu berpotensi menjejaskan pengurusan sekolah serta usaha membentuk sahsiah dan disiplin murid.

Tambah beliau, perlindungan undang-undang yang munasabah juga mampu meningkatkan imej profesion perguruan selain membantu menarik dan mengekalkan bakat terbaik dalam bidang pendidikan.

“Profesion guru perlu terus dihormati dan diyakini kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan negara,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement