KUALA LUMPUR: Motif pembunuhan pasangan warga emas yang ditikam anaknya sehingga mati dipercayai berpunca akibat suspek tidak diberi wang untuk membeli dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis telah merakam percakapan 12 individu membabitkan kes itu.

"Keterangan telah direkodkan melibatkan keluarga dan jiran-jiran sebab ada yang dakwa dengar jeritan selain saksi lain yang kita percaya dapat bantu siasatan.

“Motif pembunuhan adalah kerana dia (suspek) minta duit. Kita tengok dia ada sembilan rekod jenayah dan siasatan pula mendapati ada dia minta duit untuk beli dadah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Perayaan Hari Deepavali Kontinjen Kuala Lumpur 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Tambah Allaudeen, siasatan berhubung kejadian tersebut dalam proses untuk dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan seterusnya.

"Kes dianggap selesai dan kertas siasatan dalam proses untuk dihantar ke TPR bagi cadangan tindakan pertuduhan,” katanya.

Dalam kejadian pada 9 Disember lalu, pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun ditemui mati di ruang tamu kediaman mereka selepas dibunuh anak lelakinya di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Ujian saringan air kencing menunjukkan suspek berusia 42 tahun itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian