Penahanan pemimpin Pakatan Rakyat Tian Chua, Tamrin Ghafar dan aktivis propembangkang Haris Ibrahim dibuat tanpa dimaklumkan kenyataan yang menyebabkan mereka ditahan.

Peguam yang mewakili Haris, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya tidak dimaklumkan apakah kenyataan menghasut yang telah dikeluarkan kesemua pemimpin pembangkang berkenaan sehingga menyebabkan mereka ditahan.

"Mereka telah ditahan dan akan di bawa ke lokap untuk permohonan reman. Kita baru dimaklumkan ketiga-tiga mereka akan ditahan, untuk siasatan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan dan seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"Polis akan bawa mereka esok jam 11 pagi untuk permohonan reman, kemudian terpulang kepada majistret sama ada untuk teruskan reman atau sebaliknya," katanya ketika ditemui hadapan Balai Polis Jinjang Utara disini.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 tengahari tadi di tiga lokasi berasingan sebelum dimasukkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur Balai Polis Jingjang sekitar jam 5 petang.

Turut hadir di Balai Polis Jinjang adalah Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar untuk memberikan sokongan terhadap ketiga-tiga mereka.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tadi semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.

Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.

Manakala anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin ditahan ketika sedang makan di Bangsar.

Sementara itu pihak polis dilihat mengepung kawasan sekitar balai polis sekitar jam 6 petang tadi dan melarang mana-mana pihak daripada melakukan demonstrasi pembebasan ketiga-tiga mereka dengan meletakkan kon dan tali penghadang polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Salleh ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga individu itu ditahan selama 24 jam kerana berada di lokasi sama dengan Adam Adli yang telah didakwa di bawah seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Adam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan diikat jamin sebanyak RM5,000.

Hakim Norsyaridah Awang ketika pendakwaannya berkata ucapan Adam yang dibuat pada 13 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai kecenderungan bagi membangkitkan rakyat Malaysia supaya cuba menukar kerajaan pemerintah dengan cara yang tidak sah.

Antara kenyataan Adam yang terkandung dalam kertas pertuduhan yang dibacakan hari ini adalah :"Ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini, saya nak ajak semua yang ada di sini, kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampas kembali kuasa kita! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Kita tak banyak masa lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke jalan raya sebab akhirnya dalam dunia ketiga macam negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan kita.

"Yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat. Sedara, ingat, ini sahaja peluang yang kita ada ..."