KUALA LUMPUR: Tidak sampai satu peratus pekebun atau penternak berskala besar di negara ini yang mengamalkan pertanian organik, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata atas dasar itu kementeriannya bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan kini mengambil pendekatan agresif dalam mempromosikan amalan pertanian organik kepada pemain industri tempatan.

"Ketika ini kita beri penekanan melalui dua teras, pertama memperluaskan promosi di peringkat domestik bagi produk premium istimewa seperti hasil organik dan makanan berkhasiat bagi menyokong perkembangan pengeluaran produk seumpamanya di pasaran.

"Kedua kita akan tingkatkan penerimagunaan pensijilan standard makanan dalam kalangan pengeluar makan termasuk myGAP (Malaysia Good Agricultural Practices) dan myOrganic, dengan setiap bahan organik perlu mendapat kelulusan dua badan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan sebagai menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding yang meminta kementerian menyatakan apakah langkah yang diambil untuk mempromosikan amalan pertanian organik di negara ini.

Mohamad berkata myGAP juga bertanggungjawab untuk memberi kelulusan kepada sesuatu produk sebelum boleh diiktiraf dan dipasarkan sebagai organik.

"Kelulusan myGAP itu satu, namun di peringkat kementerian juga kita memantau barangan di pasaran dan orang ramai boleh bawa kepada kita untuk mereka periksa kesahihan produk organik itu.

"Sebab macam saya katakan tadi, kurang satu peratus amalan pertanian organik di negara kita namun dari segi produknya di pasaran begitu banyak pihak dakwa adalah organik," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mahu mengetahui cara untuk pengguna mengenal pasti ketulenan sesuatu produk organik yang terdapat di pasaran.

-- BERNAMA