Skip to main content

Malaysia

Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik ketika mengambil kelapa

Anggota Polis Maut
Tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah kelapa di Kampung Weston, Beaufort, petang tadi. - Foto polis
Advertisement

BEAUFORT: Tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah kelapa di Kampung Weston, Beaufort, petang tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.50 petang itu dipercayai berpunca apabila galah besi yang digunakan untuk menjolok buah kelapa terkena kabel elektrik yang melintasi kawasan berkenaan.

Mangsa dikenal pasti sebagai anggota Balai Polis Weston, Koperal Chiu Teck Siong, 40, Konstabel Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Difahamkan, ketika proses mengambil kelapa sedang dilakukan, galah besi yang digunakan secara tiba-tiba hilang keseimbangan sebelum menyentuh kabel elektrik bervoltan tinggi.

Renjatan yang berlaku menyebabkan seorang daripada mangsa rebah di lokasi, sebelum dua lagi rakannya yang cuba memberikan bantuan turut terkena arus elektrik.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota terbabit berada di lokasi bagi mengambil buah kelapa sebelum insiden berkenaan berlaku.

“Berdasarkan siasatan awal, mereka dipercayai menggunakan galah besi yang panjang untuk mengambil buah kelapa. Ketika itu, galah berkenaan dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dua lagi anggota yang berada berhampiran bertindak membantu rakan mereka, namun turut terkena renjatan elektrik sehingga menyebabkan ketiga-tiganya terkorban.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka kemudian dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, polis telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala proses bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.56 petang.

Susulan laporan diterima, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat bersama pihak polis.

Pasukan Sabah Electricity turut dipanggil bagi memutuskan bekalan elektrik di kawasan kejadian sebelum operasi mengalihkan mangsa dapat dijalankan dengan selamat.

Operasi keseluruhan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam selepas pihak bomba mengesahkan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.

Must Watch Video

Advertisement