NATIONAL
Tiga banduan Penjara Kajang raih kejayaan akademik

Siva, Shankar, dan Suresh (bukan nama sebenar) berjaya memperoleh ijazah dan diploma daripada Open University Malaysia (OUM) walaupun berada di penjara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kehidupan di sebalik tirai besi tidak mematahkan semangat tiga orang banduan untuk menimba ilmu, sehingga masing-masing berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh ijazah dan diploma daripada Open University Malaysia (OUM).
Ringkasan AI
- Siva, Shankar, dan Suresh (bukan nama sebenar) berjaya memperoleh ijazah dan diploma daripada Open University Malaysia (OUM) walaupun berada di penjara.
- Suresh memulakan pendidikan di penjara dengan SPM dan kini sedang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan. Shankar berjaya menggenggam Diploma Pengurusan Perniagaan di OUM walaupun terikat dengan peraturan ketat dan suasana pembelajaran yang berbeza di penjara.
- Siva menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian hasil sokongan berterusan daripada keluarga, pegawai, dan pensyarah, dan bercadang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.
"Saya masuk penjara pada umur 17 tahun dan saya dikenakan hukuman penjara seumur hidup. Pada waktu itu saya fikir masa depan saya sudah tiada. Namun selepas menduduki SPM di Sekolah Integriti Kajang, saya menjadi antara pelajar terbaik.
"Saya diberikan tawaran untuk sambung belajar di peringkat Diploma Pengurusan Perniagaan di Open University Malaysia (OUM), dengan penajaan penuh oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)," katanya kepada media selepas majlis konvokesyen itu.
Suresh yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan berkata kejayaan ditempanya itu, boleh menjadi sumber inspirasi kepada tahanan lain untuk terus cekal menimba ilmu.
Bagi Shankar, 34, pula walaupun terikat dengan peraturan ketat dan susasana pembelajaran yang berbeza di penjara, ia tidak menjadi penghalang untuk dirinya mencipta kejayaan dalam akademik, apabila berjaya menggenggam Diploma Pengurusan Perniagaan di OUM.
"Saya dan Suresh mula belajar pada tahun 2019, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan pengajian selama setahun enam bulan. Apabila pengajian disambung semula, semuanya dijalankan secara dalam talian.
"Memang banyak cabaran yang dihadapi, namun mereka (pegawai dan pensyarah) sangat menyokong. Pelbagai kemudahan seperti komputer, Internet dan bahan belajar disediakan untuk membantu kami," katanya yang turut mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan.
Shankar yang menjalani hukuman sepanjang hayat sejak 2018 sebagai TLS turut bercita-cita membuka perniagaan sendiri, selepas tamat tempoh pemenjaraan yang berbaki lapan bulan lagi.
Sementara itu, Siva, 36, berkata bahawa pencapaiannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, merupakan hasil sokongan berterusan daripada keluarganya, pegawai dan pensyarah, yang sentiasa memberi galakan sepanjang perjalanan akademiknya.
"Saya pernah mengikuti pengajian diploma di luar, tetapi saya tidak menghabiskannya. Selepas masuk ke sini, saya mendapati ada peluang untuk menyambung pelajaran. Keluarga saya menggalakkan saya untuk meneruskannya, jadi saya membuat keputusan untuk menyambung semula diploma saya.
"Setelah saya menamatkannya, saya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dan itu memberi semangat kepada saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan," katanya.
Beliau juga meluahkan rasa terima kasih kepada semua pegawai yang sanggup membantunya mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan dan memastikan beliau dapat menyiapkan tugasan tepat pada masanya.
Siva kini sedang menjalani hukuman penjara selama 18 tahun sejak tahun 2010.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami