Sepasang suami isteri dari Kampung Rahmat, Rantau Panjang, Kelantan kehilangan kesemua anak mereka apabila tiga beradik berkenaan ditemui lemas.

Dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang itu, kesemua mangsa ditemui lemas di Sungai Golok ketika mandi bersama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nasuha Fahd Ahmad Mijal memberitahu, mangsa yang meninggal dunia ialah, Mohd Zulhilmi Aziz, 7 tahun, adiknya, Mohd Shahmi, 6 tahun dan Mohd Irfan Rahman, 4 tahun.

Katanya kesemua mangsa dipercayai turun dari rumah mereka yang terletak berhampiran Sungai Golok.

Mangsa mandi di sungai itu tanpa pengetahuan ibu mereka yang tiada di rumah ketika kejadian.

Ibu mangsa hanya menyedari kehilangan anaknya itu setelah dimaklumkan oleh anggota tentera yang mengawasi sempadan.

Tiga pasang selipar milik mangsa ditemui di gigi air sungai berkenaan.

Pihak bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan sekitar jam 5.15 petang.

Tiba ditempat kejadian, pihak bomba mendapati kesemua mangsa sudah dibawa naik oleh penduduk kampung.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.